Saturday, 9 May 2015

INTEGRASI ILMU NAQLI DAN AQLI MEMBENTUK GENERASI UNGGUL


Masa awal tahun haritu, ana ada sambung STAM for a few months, 
so ada prtandingn tulis esei, anjuran USIM, 
nazak jugaklaa kepala pikiran ni nak menghabiskan 2000 pp dalam masa semalaman,
tajuk pun masya allah, bukan calang calang,, tapi smpai sekarang result tak keluar lagi, hmm takde rezeki kot, tapi ppe pun ni hasil tulisan 2000 pp dalam masa semalaman i yang pertama, hope enjoy :3

                         Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat cetakan ketiga pada tahun 2010, ‘integrasi’ bermaksud penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaun yakni unsur, bahagian dan lain lain untuk menjadi suatu kesatuan, penyatuan. Perkataan ilmu pula ditakrifkan sebagai pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat , zahir dan batin, kajian bukan sesuatu prkara dan sampainya diri kepada makna, dan hadirnya makna dalam diri seseorang. Pakar sains Islam, Abd Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun di dalam kitabnya yang bertajuk ‘Muqaddimah’ berkata ilmu diperolehi melalui syarak tanpa akal di dalam prinsip prinsip umum tetapi akal boleh digunakan untuk pecahan persoalan prinsip prinsip tersebut. Dalam erti kata lain, ilmu jenis ini adalah ilmu ilmu agama yang seseorang diminta supaya mengetahui hukum hukum dan kaedah kaedah sehingga mampu mengetahui apa yang diterangkan dalam agama, seterusnya memudahkan untuk mempraktikan perkara tersebut. Perkataan ‘Naqli’ membawa erti nas yang diperoleh daripada Al quran atau hadis yang bukan berdasarkan rasional fikiran. Aqli menurut Ibn Khaldun terhasil daripada akal dan pemikiran manusia yang berhubung rapat dengan kemajuan dan peradaban manusia. Membentuk membawa maksud menjadikan sesuatu mengikut bentuk yang tertentu, membuat sesuatu dengan bentuk atau rupa yang tertentu. Manakala perkataan ‘generasi’ membawa erti kumpulan individu yang lahir pada waktu yang lebih kurang sama, tahap atau peringkat kemajuan atau perkembangan dan ‘unggul’ bermaksud melebihi atau mengatasi yang lain dari segi kebaikan, kecekapan dan ketinggian. Seseorang yang terbaik, teristimewa dan terutama.

                         Dalam membentuk dan melahirkan generasi unggul, perkara yang ditekankan melalui tajuk ini adalah berdasarkan integrasi di antara ilmu naqli dan aqli, tetapi mampukah kita membentuk dan melahirkan generasi yang unggul ini andai ilmu naqli dan aqli itu sendiri tidak difahami dengan kefahaman yang sebenar benarnya ? Sebelum kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang ilmu naqli dan aqli, ada baiknya andai kita mengetahui takrif ilmu itu dari sudut pandangan islam. Kelahiran dan perkembangan ilmu berhubung rapat dengan teori dan asal-usul ilmu yang disebut sebagai epistemologi. Seterusnya, epistemologi memperincikan teori bagaimana sesuatu ilmu itu lahir, permulaan sesuatu ilmu dan bagaimana timbulnya sesuatu ilmu atau bagaimana ilmu itu dibangunkan.  Dalam pada itu, epistemologi sesuatu ilmu mempunyai landasan dan tapak tertentu yang membolehkan ilmu berdiri teguh, berkembang dan membentuk perspektif atau tasawwur seseorang tentang sesuatu. Asas epistemologi ini juga telah menyebabkan perbezaan tasawwur atau perspektif di antara Barat dengan Islam.  Malangnya, epistemologi ilmu moden yang digunakan oleh umat Islam masa kini dengan tidak menjadikan agama sebagai tapak atau landasannya mengakibatkan kesan yang amat merbahaya kepada akidah. Epistemologi ilmu Islam yang berasaskan sumber naqliyyah  iaitu wahyu, sama sekali tidak menolak faktor aqliyyah yang berasaskan penyuburan akal dan perkembangan pemikiran. Epistemologi ilmu islam menggabungkan sumber naqliyah dan aqliyah serta pembentukannya berasaskan kerangka dan acuan yang bersepadu. Kedua-dua sumber ilmu ini terbukti telah melahirkan  sejumlah besar ilmuwan dan saintis Muslim pada zaman kegemilangan  Islam 400 tahun yang lalu dan kini. Namun, akibat beberapa faktor dalaman dan luaran seperti penjajahan Barat lebih 400 tahun di kebanyakan negara Islam telah menyebabkan umat Islam terpinggir dan menjadikan mereka bergantung kepada kekuatan ilmu dan tamadun Barat.

                        Telah diketahui oleh kita bahawasanya kedatangan agama Islam ke alam rumpun Tanah Melayu telah mencetuskan impak yang sangat besar dan masih berkekalan sehingga ke hari ini. Kedatangan agama Islam ke Alam Melayu membuka lembaran baru dalam sejarah peradaban masyarakatnya. Agama Islam telah menjadi asas kepada kebangkitan masyarakat Melayu dari setiap sudut aspek kehidupan seperti sosial, ekonomi dan politik menurut penulis tamadun Islam, Mahayudin Yahaya 2009. Islam bukan sahaja berjaya mengubah struktur zahir masyarakat Melayu bahkan perubahan tersebut sampai ke struktur batin atau jiwa mereka menurut al-Attas 1972. Sangat jelas bahawa Islam telah dapat mengubah dan merevolusi diri orang Melayu, malah menemukan orang Melayu dengan identiti dan jati diri yang amat serasi, sangat bernilai dan paling hakiki. Umat kian tenat, bumi seakan tidak kuat untuk menanggung segala permasalahan yang ditimbulkan oleh manusia itu sendiri, malah kiamat seakan berada di hujung tanduk tanpa kita sedar. Telah terzahir pelbagai tanda tanda kecil kiamat yang berlaku di zaman kita dan ini bertepatan dengan hadis nabi seperti, mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja. "Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja." - Riwayat Ahmad. Selain itu, yang paling ketara adalah negara Arab menjadi padang rumput dan sungai. "Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai" - Sahih Muslim. Tahun demi tahun telah berlalu dan kita digemparkan dengan perubahan yang berlaku di tengah gurun padang pasir yang kian melebat dengan kehadiran tumbuh tumbuhan yang menghijau dan mata air yang melimpah seperti di puncak bukit Uhud.

                        Dengan bukti dan amaran yang telah ditunjukkan oleh Allah S.W.T masih tidak cukupkah untuk menggoyah dan menginsafkan kita ? Menurut Dr.Nik Rosila Nik Yaacob, pensyarah Psikologi Islam dan Unit Bimbingan di Universiti Sains Malaysia USM beliau berkata terdapat empat teras pembinaan jati diri bangsa Melayu berdasarkan buku tunjuk ajar Melayu yang merupakan kompilasi ungkapan, pantun, gurindam, petunjuk, petua dan nasihat orang-orang tua yang pada masa kini telah dijadikan kompilasi komponen sastera yang dipelajari oleh pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia mengandungi etika nilai ilmu naqli dan aqli yang serasi. Pertama, teras ketaqwaan kepada Allah. Kedua, teras akhlak. Ketiga, teras ilmu pengetahuan dan yang terakhir, teras muamalah. Teras ketaqwaan kepada Allah merupakan teras yang paling utama dalam pembentukan jati diri bangsa Melayu. Orang Melayu memang dikenali sebagai satu bangsa yang menganut agama Islam dan seluruh nilai, norma serta adat budaya mereka adalah merujuk kepada ajaran Islam. Teras akhlak pula merupakan cerminan kepada segala amalan dan perlakuan seseorang individu. Ia berkait rapat dengan bagaimana seseorang menjaga hubungannya dengan Allah, sesama manusia dan juga dirinya sendiri. Di samping itu, teras ilmu pengetahuan pula merujuk kepada keperluan untuk memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang berfaedah dan tidak melanggar syariat Islam. Manakala teras muamalah pula menekankan konsep bersatu padu, bergotong-royong dan bertolak ansur sebagai inti kepada keperibadian dan jati diri bangsa Melayu. Sudah terang lagi bersuluh bahawa masyarakat terdahulu warisan atuk nenek moyang kita terbukti keempat empat teras pembinaan jati diri yang diintegrasi daripada ilmu naqli dan aqli ini berjaya mewujudkan generasi yang unggul.

                       Mungkin tidak terizhar pada pandangan kita di manakah terletaknya kesinambungan dan keserasian dalam menonjolkan bahawa keempat empat teras itu sebenarnya terdapat kesangkut pautan dalam ilmu naqli dan aqli tetapi tidakkah teras ketaqwaan dan akhlak itu berpandu kepada ajaran dan ikutan yang ditinggalkan oleh baginda S.A.W, sesuai dengan mafhum hadisnya ‘Aku tinggalkan kepadamu umat Islam dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan sesat ,iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku, hadis riwayat Muslim. Selain itu teras ilmu pengetahuan dan muamalah pula sudah tentunya berlandaskan kepada pengetahuan daripada aqal kita sendiri. Mengikut kajian terkini, hanya satu per tiga saintis Barat yang hanya menggunakan logik akal sahaja dalam mentafsir erti kehidupan yang sebenar dan mengkaji alam sekitar justeru dengan lagaknya mampu mengeluarkan kenyataan bahawa setiap benda yang berlaku adalah faktor  daripada fenomena alam itu sendirri dan tidak dikawal oleh sesiapa pun. Sigmund Freud, pakar psikoanalisis dari Austria merupakan individu yang banyak mempengaruhi manusia berhubungan dengan tidak meletakkan ilmu naqli dan aqli itu seiring. Dalam bukunya, The Future of an Illusion 1927 beliau berkata, ajaran agama dan kepercayaan hanyalah ilusi manusia semata mata kerana itu hanyalah keinginan yang lahir dalam diri setiap manusia tanpa mengetahui dengan sebenar benarnya siapakah Tuhan yang layak disembah dan ini menjadikan beliau sangat anti terhadap kepercayaan dan agama sehingga tergamak berkata ‘agama dapat diumpamakan seperti penyakit jiwa yang menyerang kanak-kanak’. Dalam kehangatan penyebaran fahamannya yang baharu itu, terdapat beberapa kelompok saintis yang mencuba mengungkap kebenaran dan mencari kaedah agar manusia sejagat tidak mudah terpesong dengan fahaman baharu yang cuba diterapkan oleh Sigmund Freud.

                        Hal ini terbukti memberikan hasil yang agak melegakan hati apabila nisbah saintis Barat yang mempercayai adanya Tuhan adalah sebanyak dua per tiga daripada golongan athies Barat yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Hal ini dilaporkan Robert Roy Britt dalam livescience.com (11 Ogos 2005) di bawah tajuk Scientists’ Belief in God Varies Starkly by Discipline. Perkara yang paling menonjol sekali adalah kisah berhubung Dr. Antony Flew. Beliau adalah pakar dalam bidang ilmu falsafah dari Britain. Beliau juga adalah pakar rujuk ideologi aliran ateisme pada abad ke-20, dan berjaya menghasilkan lebih daripada 30 buah buku demi mempertahankan ideologi ini. Pada tahun 2004 sewaktu berumur 81 tahun, Antony Flew mula berjinak-jinak dengan tuhan. Selepas 50 tahun memperjuangkan ateisme, akhirnya beliau terpaksa mengakui, berdasarkan bukti-bukti sains, kewujudan alam ini tidak boleh dipisahkan daripada tuhan. Antara aspek yang menyedarkan beliau pada kewujudan tuhan ialah keunikan DNA. DNA adalah juzuk utama yg membentuk bahan genetik. Unsur ini adalah kod penentu ciri-ciri kebakaan untuk kebanyakan organisma hidup. Susunan DNA yang begitu unik dan menakjubkan menyedarkan Antony Flew pada kewujudan pencipta yang merancang kejadian ini. Hal ini dilaporkan oleh Richard N. Ostling (Associated press, 10 Disember 2004) di bawah tajuk Atheist Philosopher, 81, Now Believes in God.

                       Seterusnya, mari kita kaji sebuah kisah yang membuktikan bahawa ilmu naqli dan aqli adalah saling bersandaran antara satu sama lainnya. Kisah ini berlaku pada zaman Imam Ahmad b Hanbal. Terdapat sekumpulan atheis yang mendakwa bahawa alam ini terbentuk dengan sendirinya dan tidak memerlukan pencipta. Sudah banyak ulama yang menyangkal kata kata mereka namun, para atheis tersebut mampu mematahkan hujah hujah para ulamak sehingga mereka berasa sombong dan bongkak. Imam Ahmad b Hanbal menjemput mereka untuk mengadakan sedikit perbincangan mengenai perkara itu. Setelah mencapai kata sepakat, pada hari yang ditetapkan, Imam Ahmad b Hanbal dengan sengajanya melewatkan kehadirannya ke sana. Setelah Imam Ahmad b Hanbal tiba, para ateis berasa berang kerana beliau tidak datang tepat pada masanya lantas bertanya absab kelewatannya itu. Imam Ahmad b Hanbal berkata “Begini, kamu tentu tahu bahawa saya tinggal di luar bandar. Di situ terdapat sebatang sungai yang cukup lebar. Ketika hendak datang ke sini, saya mendapati tiada satu pun sampan yang membolehkan saya menyeberang. Itulah sebabnya saya terlambat datang.”  “Jadi, bagaimana kamu boleh tiba kalau tiada sebarang sampan?” tanya mereka kehairanan.“Ah! Satu perkara yang ajaib telah berlaku,” kata Imam Ahmad.“Secara tiba-tiba sekeping papan hanyut terapung-apung dan dengan sendirinya berhenti di depan saya. Kemudian disusuli oleh beberapa papan-papan lain yang juga hanyut lalu semuanya bergabung. Tiba-tiba muncul pula seutas tali. Papan-papan dan tali membentuk dengan sendirinya menjadi sampan yang elok dan baik. Sampan kecil itulah yang menyeberangkan saya hingga sampai ke tempat ini dengan selamat,” ungkapnya panjang lebar. Kumpulan atheis itu ketawa terbahak-bahak. “Ah! Mengarut sahaja. Itu mustahil, dan tidak masuk akal,” kata salah seorang di antara mereka. Imam Ahmad menjawab dengan lemah lembut dan berhikmah “Kalau kamu tidak percaya sampan yang kecil itu boleh terbentuk dengan sendirinya, bagaimana pula dengan alam semesta ini yang besar dan boleh terjadi dengan sendirinya tanpa kekuasaan Allah SWT?”

                      Kumpulan atheis itu terdiam dan bungkam seribu bahasa. Oleh kerana tidak berjaya menemui jawapan bagi membalas kata-kata Imam Ahmad, mereka pergi begitu sahaja dan orang ramai di sekeliling itu bersorak keriangan kerana Imam Ahmad berjaya menyangkal kefahaman ateis tersebut. Seperti yang kita maklum, ilmuwan Islam terdahulu sangat disanjungi dan diingati sehingga sekarang seperti Ibn Sina pakar perubatan, Al Khawarizmi pakar matematik, Al Farabi ahli falsafah dan Al Zahrawi bapa bedah moden suatu ketika dahulu benar benar mengangkat kemartabatan Islam melalui pelbagai bidang ilmu. Ulama terdahulu diterapkan dengan pengajian daripada al quran dan hadis dahulu sebelum berjaya menceburkan diri ke dalam bidang bidang mereka. Dengan kaedah pembelajaran sebeginilah yang melahirkan ramai ilmuwan Islam yang telah menyumbang kepada peradaban tamadun manusia abad demi abad. Integrasi ilmu naqli dan aqli ini pernah terbukti membentuk generasi unggul tetapi malangnya generasi ini mula hilang ditelan zaman. Lantas apa peranan kita dalam mewujudkan kembali generasi yang unggul ini ? Pada tahun 2013, strategi branding and positioning telah disusun dan dilaksanakan bagi pihak USIM dan buahnya sudah terserlah. Mereka telah mendapat banyak anugerah berprestij dan menerima ramai pelawat dari universiti luar Negara dan tempatan bagi menjadikan mereka sebagai rakan strategik. Usaha ini juga diteruskan dengan lebih pesat dengan menengahkan Falsafah, Visi dan Misi USIM ‘Integrasi ilmu naqli dan aqli membentuk generasi unggul’ bukan kepada masyarakat luar sahaja malahan terhadap pelajar di USIM itu sendiri. Dan kita merasa lega kerana terdapat juga inisiatif daripada sesetengah pihak yang cuba untuk mewujudkan kembali generasi yang unggul ini namun, adakah kita hanya menampung kebergantungan ini kepada mereka sahaja ?


                       Kerajaan bolehlah mengambil inisiatif dengan menjadikan integrasi ilmu naqli dan aqli ini sebagai misi dalam membentuk negara dan tamadun yang lebih gah pada masa akan datang. Sebagaimana rasulullah S.A.W mendidik para sahabat, sebegitulah seharusnya anak muda harus dididik bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja intelek, namun dapat mengaitkan setiap segala sesuatu ilmu yang dipelajarinya dengan panduan hidup kita iaitu al quran dan as Sunnah. Sebagai contoh ayat yang membongkar rahsia ilmu sains yang telah diselitkan di dalam ayat al quran tentang lapisan atmosfera yang semakin tinggi apabila menjauhi paras laut. Firman Allah di dalam surah Al-An’am ayat 125 muka surat 144 yang bermaksud ‘Barangsiapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah, Dia akan membukakan dadanya unutk menerima Islam. Dan barangsiapa dikehendaki-Nya untuk sesat, maka Dia menjadikan dadanya sempit dan sesak seakan akan dia sedang mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman. Sepotong ayat yang membuatkan para manusia sejagat tertanya tanya tentang apakah maksud mendaki ke langit telah mencambahkan lagi buah fikiran mereka untuk terus menjalankan kajian bagi menyingkapi apakah maksud di sebalik ayat tersebut. Menerusi bukti yang dibentangkan, itu hanyalah satu ayat yang mampu memberikan impak kepada pembentukan generasi yang unggul sekiranya mereka mengaplikasi dan mengkaji mukjizat yang telah diberi kepada nabi kita. Akhirul kalam, di sini saya menyeru kepada semua pihak agar berhenti berfikiran jumud dan membuka mata hati dan minda agar dapat melihat sebenat benar tuntutan terhadap kita yang sudah terlalu lama kita tinggalkan. Kaedah pembelajaran menggunakan integrasi antara  ilmu naqli dan aqli sememangnya dapat mewujudkan generasi yang unggul dan mampu mengorak langkah demi menyelamatkan ummat sejagat dan seterusnya memacu negara kearah yang lebih kukuh dan berdaulat.

No comments:

Post a Comment